Francais Upin & Ipin

Cenderamata

Selain DVD, jenama Upin & Ipin juga terjual dalam bentuk barangan cenderamata[16], termasuk pakaian, kelengkapan sekolah, sampul duit raya, anak patung dan juga bantal kusyen di bawah jenama "U & I Boutique". Malangnya, barangan-barangan Upin & Ipin tidak terlepas daripada gejala cetak rompak dan barangan tiruan[17]; tetapi mujurlah adanya penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna untuk memantau dan membendung kegiatan haram ini.[18]

Acara luar

Sempena meraikan sambutan peminat-peminat, pihak penerbitan Upin & Ipin mengambil ikhtiar untuk mengadakan Karnival Upin & Ipin yang terdiri daripada penampilan maskot watak-watak Upin & Ipin dengan pelbagai aktiviti menghiburkan. Mulai musim cuti sekolah akhir tahun 2010 di Melaka Wonderland dan SACC Mall Shah Alam, Karnival Upin & Ipin kini merupakan acara tahunan yang menjelajah dari tempat ke tempat di seluruh negara.

Selain Karnival Upin & Ipin, maskot Upin dan Ipin dan kawan-kawan juga membuat penampilan di acara-acara anjuran pihak lain sebagai tetamu mahupun duta produk. Pementasan teater Upin & Ipin the Musical yang menggunakan khidmat pelakon hidup dianjurkan buat julung kalinya pada 14 April hingga 6 Mei 2012 di Istana Budaya.[19] Dalam pementasan ini, watak Upin dan Ipin dimainkan oleh dua pasangan pelakon yang berbeza, iaitu Faris Azim Abdul Karim dan Amir Johar Nadim, Joshry Adamme Rizq Arish Khairul Fazril dan Muhamad Faritz Danial Roshaimi.

Kelab Upin & Ipin

Walaupun aktif sejak tahun 2009, namun Kelab Upin & Ipin hanya dirasmikan di acara "Hari Kelab Upin & Ipin" di Zoo Negara pada 12 Jun 2010.[20] Ahli kelab menikmati peluang menyertai semua aktiviti kelab sepanjang tahun, dan juga harga istimewa untuk barang dagangan berjenama Upin & Ipin di kedai U & I Boutique dan Geng's Corner. Di samping itu, rancangan televisyen kanak-kanak Kelab Upin & Ipin disiarkan mulai 4 Jun 2011 di TV9.

Kedai Makan Upin & Ipin

Jenama Upin & Ipin dimantapkan lagi dengan pembukaan jaringan restoran Kedai Makan Upin & Ipin yang khusus dalam hidangan masakan tempatan. Dimulai dengan pembukaan cawangan pertama di Seksyen 7, Shah Alam pada Julai 2012, Kedai Makan Upin & Ipin terdapat di seluruh Semenanjung Malaysia.

Rakaman muzik

Pada tahun 2011, Les' Copaque dan syarikat rakaman Nova Music menerbitkan album lagu Aidilfitri Seronoknya Raya Bersama Upin & Ipin yang menampilkan nyanyian Asyiela Putri sebagai pelakon suara Upin dan Ipin.[21] Pada pertengahan tahun 2012, Asyiela berduet bersama Najwa Latif untuk merakam lagu "Terima Kasih Cikgu" sempena sambutan Hari Guru dan episod "Terima Kasih Cikgu".

Majalah

Mulai Disember 2009, Majalah Komik Upin & Ipin diterbitkan sekali sebulan untuk pasaran seluruh Malaysia, terbitan Nyla Sdn Bhd.[22] Isi kandungan majalah ini terdiri daripada komik hasil tangkapan skrin siri Upin & Ipin dan filem Geng: Pengembaraan Bermula, profil pelakon suara dan kru di sebalik siri Upin & Ipin, halaman pembelajaran dan aktiviti, dan sebagainya.

Permainan video dan aplikasi

Les' Copaque Production membuka sebuah bahagian pembangunan permainan, LC Game Develpment Inc. Sdn Bhd untuk mengeluarkan permainan elektronik Upin & Ipin. LC Game Development Inc. telah menghasilkan dua permainan mini untuk pengguna iOS, iaitu Pocket Ipin (2010), Pocket Upin (2012) dan Upin & Ipin Dash (2012).

Rujukan

WikiPedia: Upin & Ipin http://74.125.153.132/search?q=cache:zYWnRG4N0O4J:... http://www.analisadaily.com/index.php?option=com_c... http://usa.autodesk.com/adsk/servlet/item?siteID=1... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php... http://4.bp.blogspot.com/_FKVIn1vBDRs/SzLbVvYpcKI/... http://gengmovie.blogspot.com/2007/11/series-upin-... http://gengmovie.blogspot.com/2009/04/upin-ipin-pa... http://gengmovie.blogspot.com/2009/09/rating-upin-... http://gengmovie.blogspot.com/2009/12/syabas-les-c... http://gengmovie.blogspot.com/2010/06/kemeriahan-h...